Sayap Anak Muda BERSATU

Membangun Negara, Membina Masa Depan Malaysia

Ucapan Dasar KAN bersempena Perhimpunan Agung Bersatu 2020

PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN 2020

 

UCAPAN DASAR KETUA ARMADA NASIONAL

 

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera,

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana pejuang-pejuang muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia kali ini akhirnya dapat berhimpun dan sekaligus menyempurnakan pemilihan sulung kita beberapa bulan lepas.

 

Walaupun terpaksa berkempen sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, kita tetap junjung tinggi amalan demokrasi. Terima kasih saya ucapkan atas ketinggian disiplin, semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh anggota ARMADA pada pemilihan kali ini. Terima kasih kepada semua petugas-petugas parti yang menguruskan pemilihan dengan jayanya. Anda adalah barisan hadapan, benteng perjuangan BERSATU.

 

Tahniah kepada yang menang, dan terima kasih sekali lagi kepada rakan-rakan Exco dan Ketua ARMADA Negeri kerana sudi menerima pencalonan dan berkhidmat bersama saya.

 

Biduk lalu, kiambang bertaut. Saat ahli menyeru, kita kini menyahut. Sekarang adalah masanya untuk merapatkan saf dan merencana hala tuju ARMADA, bukan saja demi ahli kita, malah juga untuk anak muda seluruhnya.

 

Saudara-saudara sekalian,

 

Apa yang berlaku pada hari ini benar-benar di luar jangkaan kita. Siapa sangka pandemik Covid 19 mencetuskan krisis berkembar kesihatan dan ekonomi - live and livelihood. Ianya benar-benar telah menggugat dan mengubah cara hidup manusia di seluruh dunia. Seperti kata Tan Sri Presiden kita, “This is unprecedented times”. Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres menyifatkan krisis ini melangkaui krisis kesihatan dan ekonomi. Ianya adalah krisis kemanusian, yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 100 tahun semenjak tamatnya perang dunia kedua.

 

Dalam kita merenungi nasib umat yang diuji dengan mehnah dan tribulasi, saya teringat kembali kata-kata pemikir ulung Melayu Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al Attas:

 

Sifat sejarah menurut orang,

Ibarat pentas bermain wayang,

Cerita lampau dihurai dalang,

Pabila tamat segera diulang.

 

Hadirin sekalian,

 

Itulah sifat sejarah. Meski tidak pernah berlaku sebelumnya, tamsilan sifatnya setelah sekian lama di ulang tayang. Ujian ke atas sesebuah bangsa adalah sunnatullah kehidupan. Sebagai kader perjuangan Melayu dan Pribumi, wajib kita bertanya di mana sebenarnya kedudukan kita dalam sejarah pada hari ini? Ibn Khaldun menyifatkan sejarah bangsa itu bersifat kitaran: ada masa kita di bawah sedang melakar sejarah, ada masa kita di atas menuai nikmat -  ada masa kita-kan tergelincir di ambang kejatuhan.

 

Kalau ditanya saya apa masalah asas yang membelenggu perjuangan Melayu kita pada hari ini, tidak lain tidak penyakit tiga serangkai:  (1) kekerdilan jiwa, (2) kemiskinan akhlak dan (3) minda yang tertawan. Melayu ini bukan sekadar bangsa tuan-tuan; Melayu adalah sebuah peradaban. Sebelum kita diratah penjajah Barat, kita punya lembaran sejarah agung. Undang-undang yang berdaulat memberi keadilan kepada perdagangan sejagat. Sistem politik demokratik yang jauh lebih awal daripada Barat. Budaya yang halus lagi tinggi mencipta makna diri yang luhur dan dihormati. Itulah Melayu dan Pribumi. Bangsa yang bermaruah dan disegani.

 

Perjuangan Melayu dan Pribumi bukanlah agenda yang baharu. Perjuangan Pemuda BERSATU adalah merupakan sambungan rantai perjuangan yang panjang, maka bertuahlah kita ditaqdir menjadi pengikat kesinambungan perjuangan ini.

 

Sahabat-sahabat pejuang muda sekalian,

 

Kedudukan unik BERSATU di teras pemerintahan negara meletakkan beban yang besar di bahu kita. Memandangkan pengundi muda akan membentuk kumpulan terbesar dalam pilihanraya akan datang, kejayaan parti bergantung sepenuhnya kepada tawaran yang mampu menarik minat dan menepati citra dan aspirasi mereka.

 

Bersatu teguh, bercerai roboh. Perjuangan Melayu dan pribumi kita tidak menafikan kemajmukan dan muhibah Bangsa Malaysia. Selari dengan Perlembagaan Malaysia, BERSATU komited untuk menyatukan masyarakat yang rencam di bawah payung negara yang satu: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

 

Namun begitu, kesatuan ini tidak boleh dicapai bersendirian, tapi bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional. Kekuatan dalam kepelbagaian ini – yang sudah terbukti diterima umum di Sabah baru-baru ini – merupakan tawaran utama kita kepada warga Malaysia.

 

Apabila semboyan pilihanraya sudah berbunyi, apabila ketumbukan kita berarak membentuk benteng dan formasi, kita gempur sebagai Pemuda Perikatan Nasional!

 

Rakan-rakan Pemuda BERSATU sekalian,

 

Dalam situasi semasa, rakyat terus tertanya-tanya tentang hala tuju negara dan untung nasib mereka. Sebagai wadah siasah anak watan, kita juga harus bertanya:

 

  1. Apa nasib anak bangsa untuk 10, 20, 30 tahun akan datang?
  2. Berjayakah kita menjadi individu, keluarga dan masyarakat yang mandiri tanpa terus bergantung harap pada orang lain?
  3. Dapatkah kita memimpin industri-industri berteknologi tinggi yang berdaya saing di peringkat global?
  4. Apakah dapat kita realisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030?

 

Belia hari ini dikepung oleh pelbagai cabaran; antaranya pengangguran dan kerja tidak sepadan (underemployment), kurang jati diri (alienation) dan tiada pembedayaan dan hala tuju jelas (precarity); akhirnya menyumbang kepada golongan Belia Resah yang bergelut dengan cabaran sekunder seperti kesihatan mental dan kebejatan sosial.

 

ARMADA sebagai wahana pemuda perlu memecahkan ‘Dilema Melayu’ yang belum kunjung habis ini, seterusnya melakar tawaran-tawaran konkrit untuk memerdekakan kita sebagai bangsa yang bermaruah dan berdaulat dari segi geopolitik, ekonomi, teknologi dan budaya.

 

Inilah cabaran kita: membebaskan masyarakat daripada belenggu penjajahan tidak tampak demi mencapai Kemerdekaan Kedua yang merawat penyakit tiga serangkai yang saya sifatkan tadi:

 

Untuk itu, Angkatan Bersatu Anak Muda membawa 5 teras usul:

 

TERAS 1: BELIA KUNCI KEMENANGAN

 

Tahun ini, separuh daripada rakyat Malaysia adalah berumur 30 tahun atau lebih muda. Menjelang berkuatkuasanya Undi18 pada Julai 2021, anak muda akan menjadi kumpulan pengundi terbesar yang wajib disantuni.

 

[Usul Pertama] Untuk itu, ARMADA mencadangkan agar 20% daripada calon pilihanraya dan lantikan mestilah terdiri daripada anak muda termasuk:

  1. Ahli Dewan Rakyat;
  2. Ahli Dewan Negara;
  3. Ahli Dewan Undangan Negeri;
  4. Ahli Majlis Kerajaan Tempatan; serta
  5. Khidmat sokongan anggota Pentadbiran

 

[Usul Kedua] Golongan mahasiswa dan profesional muda perlu diyakinkan untuk aktif berpolitik dan bersama dengan kita. ARMADA harus menyusun semula platform dan gerak kerja untuk golongan ini di bawah payung Mahasiswa BERSATU Negara. Namun ini perlu dibuat di bawah panji dan jenama yang tunggal dan tidak berbelah bahagi – logo bunga raya kita.

 

TERAS KEDUA: UNGGULI PRODUKTIVITI

 

Covid-19 memberi kejutan yang besar bahawa hanya teknologi mampu menjamin pekerjaan yang stabil dan bernilai tinggi. Akibat tidak bersedia, ramai yang hilang sumber pendapatan lebih-lebih lagi anak muda yang baru baru sahaja mahu membina kehidupan. Selari dengan hasrat kerajaan melalui Belanjawan 2021, ARMADA mencadangkan pendekatan berikut:

 

  1. [Usul Ketiga] Demi Belia: Rombakan segera sistem pendidikan terutamanya untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) agar setiap belia – bahkan sebelum meninggalkan alam persekolahan – sudah mempunyai peluang kerja yang sesuai dengan bakat dan minat masing-masing.

 

  1. Melalui dasar skim jaminan pekerjaan di bawah Majlis Pekerjaan Negara, skim-skim ini boleh diperkasa agar peluang pekerjaan dapat dicipta dan dimajukan. Sistem ‘talent matching’ yang mengenalpasti dan memadankan bakat-bakat muda dengan peluang yang terbaik juga perlu disegerakan.

 

  1. [Usul Keempat] Satu Keluarga, Satu Kerjaya: Setiap isirumah perlu ada sekurang-kurangnya seorang pekerja berkemahiran tinggi atau yang bekerja dalam sektor yang ada nilai tambah tinggi. Selain daripada pakar IT dan pakar ekonomi, kita juga mahu belia memimpin dalam bidang kepintaran buatan, robotik, dan yang paling penting teknologi hijau untuk menjamin kelestarian alam sekitar kita.

 

  1. [Usul Kelima] Malaysia Bekerja: Wabak Covid-19 membuktikan bahawa kita tidak boleh bergantung kepada tenaga kerja asing. ARMADA percaya bahawa pergantungan kepada pekerja asing harus dikurangkan beransur-ansur dan guna tenaga tempatan dipertingkat.

 

TERAS KETIGA: KEHIDUPAN BERKUALITI

 

Rakyat Malaysia juga digelenggu kos sara hidup yang tinggi. Mesyuarat Zoom pun kena bayar mahal, apatah lagi mahu beli kereta dan rumah. Hendak ke tempat kerja pun perlu memandu berjam-jam sehari. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini telah membuktikan bahawa faktor terpenting sebenarnya ialah mentality kita sendiri. Untuk jangka pendek, ARMADA mencadangkan tiga perubahan utama:

 

  1. [Usul Ketujuh] Rumah Mesra Rakyat: Dasar perumahan awam yang lebih agresif adalah perlu untuk membekalkan rumah mampu milik atau rumah mampu sewa yang lebih berintegrasi dengan keperluan ekonomi rakyat. Ia juga harus dipadankan dengan sistem sokongan sosial yang lebih mesra keluarga seperti pusat penjagaan kanak-kanak, sekolah dan peluang pekerjaan.

 

  1. [Usul Keenam] Pendidikan Sepanjang Hayat: Dunia berubah dengan begitu cepat, maka kemahiran perlu sentiasa dikemaskini. Oleh itu anjakan besar diperlukan untuk mempromosi pendidikan lanjutan dan berterusan.

 

Kursus-kursus pendek seperti yang dibiayai oleh HRDF hari ini perlu dipermudah, dikembangkan dan dijadikan norma dalam pembangunan modal insan negara. Institusi pengajian tinggi (IPT) awam harus memimpin transformasi ini. Anak muda lebih bebas memilih kaedah-kaedah pendidikan yang lebih anjal dan sesuai dengan peredaran zaman.

 

Ini juga harus disokong oleh usaha untuk merapatkan jurang digital dan teknologi lain terutamanya di kawasan luar bandar.

 

  1. [Usul Kelapan] Kebajikan Hari Tua: ARMADA menyokong penuh agar had umur pencen sekarang dikekalkan. Namun begitu, sebuah kajian dan perancangan jangka panjang sistem persaraan dan kebajikan warga emas diperlukan segera selari dengan perubahan demografi Malaysia.

 

TERAS KEEMPAT: GOLONGAN RENTAN

 

Kejayaan kita sebagai masyarakat dan negara bergantung kepada sikap kita terhadap golongan rentan. ARMADA menyeru agar sama-sama kita terjemahkan rahmat Tuhan Yang Maha Esa dalam kehidupan kita.

 

  1. [Usul Kesembilan] Peluang Kedua perlu diberikan kepada Banduan dan golongan berisiko tinggi harus mendapat sokongan daripada masyarakat. Oleh itu, skim rehabilitasi, kaunseling dan sokongan jangka panjang harus diperkasa. Stigma dan persepsi orang ramai harus diuruskan dengan bijaksana.

 

  1. [Usul Kesepuluh] Malaysia Rai OKU: Peranan orang kelainan upaya (OKU) juga harus dihargai dan Majlis Pekerjaan Negara harus meningkatkan penglibatan mereka dalam ekonomi negara.

 

TERAS KELIMA: MALAYSIA DI PERSADA DUNIA

 

Dari Kedah Tua hingga ke Melaka, dahulu Johor kini Malaysia, tanah air bertuah ini sentiasa menjadi tumpuan dunia. Malaysia harus meneruskan legasi ini agar kekal sebagai pemain utama rantau ini seperti yang dicitakan oleh YAB Tan Sri Presiden di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

  1. [Usul Kesebelas] Pax ASEANA: Sebagai negara berdagang, keselamatan dan keterbukaan Selat Melaka dan Laut China Selatan harus dilindungi daripada militarisasi oleh mana-mana kuasa.

 

  1. [Usul Keduabelas]: Malaysia sebagai Paksi Asia menjadi hub serantau dalam pelbagai bidang termasuk perbankan dan kewangan Islam, pusat rujukan akademik, kajian dan pembangunan (R&D) sains dan teknologi dan lain-lain.
  2. [Usul Ketigabelas] ARMADA juga sentiasa peka dengan isu-isu geopolitik dunia. Kami menyeru agar Baitul Maqdis kekal di tangan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

 

Saudara-saudara seperjuangan sekalian,

 

Merenung kembali intipati perlembagaan parti dan Perlembagaan Persekutuan, misi utama kita ialah menawarkan kepimpinan yang berwibawa, pemerintahan yang baik, demokrasi yang sihat dan negara yang adil dan saksama demi kebahagian ramai.

 

Rakan-rakan ARMADA semua,

 

Jika bertempur di medan juang, dialah panglimanya. Jika dilambung ombak di lautan, dialah nakhodanya. Di bawah karisma kepimpinannya, parti kita yang baru setahun jagung ini berjaya memecahkan monopoli dan melahirkan dua Perdana Menteri. Tidak lain dan tidak bukan, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, presiden kita!

 

Alhamdulillah, Belanjawan 2021 juga sudah lulus di peringkat dasar. Jika kita kekalkan momentum hari ini, percayalah tuan-tuan, kita akan berjaya di pilihanraya akan datang, malah kembali dengan majoriti dua pertiga yang tidak pernah dicapai sejak hampir dua dekad!

 

Dengan itu, saya ucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan ARMADA. Ayuh bersama-sama dengan saya melaungkan kata keramat ARMADA! ARMADA! ARMADA!

 

Wabillahi taufiq wal hidayah.

 

Wassalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Hakcipta Terpelihara © 2021 Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Diselenggara oleh PERDANA - Penerangan ARMADA Nasional.