Sayap Anak Muda BERSATU

Membangun Negara, Membina Masa Depan Malaysia

Akar umbi jadi alat pemimpin bebas kes mahkamah - Wan Fayhsal

- Akar umbi parti UMNO sebenarnya dijadikan alat oleh beberapa pemimpin parti itu bagi mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membebaskan mereka daripada sebarang pendakwaan mahkamah.
Gambar oleh Malaysia Gazette / Syafiq Ambak

SHAH ALAM - Akar umbi parti UMNO sebenarnya dijadikan alat oleh beberapa pemimpin parti itu bagi mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membebaskan mereka daripada sebarang pendakwaan mahkamah.

Ketua Pemuda Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mendakwa, sebilangan pemimpin UMNO terkait kes mahkamah, termasuk Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebenarnya menggunakan suara kebangkitan akar umbi UMNO menolak Bersatu hanya demi memenuhi agenda peribadi mereka sahaja.

Menurutnya, mereka menggunakan Bersatu sebagai kambing hitam bagi menjadikan alasan mempercepatkan pilihan raya, sedangkan jalan perundingan masih terbentang luas.

"Mereka menggunakan Bersatu sebagai alasan mempercepatkan pilihan raya, sedangkan sebenarnya boleh sahaja segala isu kerusi (pilihan raya) dan perbezaan yang menjadi pertikaian mereka dirunding.

"UMNO ada banyak kelompok, tetapi satu kelompok paling ketara adalah kelompok terkait kes mahkamah yang banyak memainkan peranan mendesak. Jadi ini sebenarnya perkara terselindung di sebalik kebangkitan suara akar umbi menolak Bersatu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan lebih 140 UMNO bahagian di seluruh negara yang mengemukakan usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada Sabtu lalu.

Pada Selasa, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengumumkan pemecatan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa daripada jawatan Setiausaha Agung BN dan Muafakat Nasional (MN), serta digantikan dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid dalam satu pertemuan tertutup bersama ketua-ketua bahagian UMNO seluruh negara juga difahamkan akan mengarahkan ahli-ahli Parlimen parti menarik sokongan daripada kerajaan PN dalam masa terdekat bagi membolehkan perlaksanaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dipercepatkan.

Pada Rabu, Annuar melalui satu sidang media khas membuat pendedahan mengejutkan apabila mengesahkan dakwaan UMNO dan BN bakal bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP bagi membentuk kerajaan baharu.

Wan Ahmad Fayshal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, pihaknya mengakui kedudukan kerajaan PN kini menjadi semakin genting susulan langkah politik terkini dilakukan UMNO dan BN.

"Persoalannya benarkah semua ini dibuat kerana rakyat?

"Kami (Bersatu) tertanya-tanya mengapa perlu didesak, diasak untuk percepatkan PRU15 bila mana masalah Covid-19 masih belum surut malah semakin parah? Di mana semangat perpaduan dan muafakat parti-parti Melayu?" katanya.

Sinar Harian difahamkan Bersatu akan mengadakan satu mesyuarat tergempar pada malam ini di lokasi yang dirahsiakan bagi membincangkan perkembangan terkini politik membabitkan kerajaan PN.


Dr Abdul Aziz Rahman

Dalam pada itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Dr Aziz Abdul Rahman menyifatkan tindak-tanduk terkini ahli politik yang terus 'berpolitiking' dalam keadaan Covid-19 semakin parah bakal menjahanamkan sistem demokrasi dan ekonomi negara.

"Dengan kita seronok berpolitiking, tindakan itu merupakan satu langkah silap.

"Ia akan memberi mudarat kepada UMNO sendiri. Kalau pemimpin UMNO sayang UMNO, kena tunjukkan kepimpinan yang bersederhana, boleh diterima bukan sahaja 3 juta ahli UMNO, bahkan jutaan rakyat Malaysia di luar sana," katanya.

Ditanya pendedahan Annuar bahawa UMNO bakal bekerjasama dengan pembangkang termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu, Aziz berpandangan gerakan itu mungkin berlaku disebabkan pemimpin UMNO merasakan lebih selesa bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Bagaimanapun, kalau Pas tidak menyertai kerajaan baharu UMNO-Pakatan Harapan (PH), pakatan baharu UMNO itu masih tidak kuat juga.

"Sekalipun penjajaran politik baharu akan berlaku kelak, budaya ini sebenarnya akan merosakkan kestabilan politik negara untuk jangka masa panjang," katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/117809/BERITA/Politik/Akar-umbi-jadi-alat-pemimpin-bebas-kes-mahkamah-Wan-Fayshal

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Hakcipta Terpelihara © 2021 Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Diselenggara oleh PERDANA - Penerangan ARMADA Nasional.