BAHAGIAN 2: KENAPA AHLI BERSATU HARUS PERTAHANKAN TUN MAHATHIR SERTA PRINSIPNYA

Tulisan ini pendapat peribadi saya selaku ahli parti berkenaan kemelut yang sedang melanda BERSATU. Saya menulis ini dengan pendapat bahawa semua tindakan Tun Dr Mahathir adalah tepat, berprinsip serta berperlembagaan.

PECAT MEMECAT

Baru-baru ini hampir semua Badan Pimpinan Negeri (BPN) telah bermesyuarat. Tujuannya adalah supaya mengumpul sokongan dari bahagian-bahagian terhadap TSMY. Antara lain, ura-ura pemecatan Tun Dr Mahathir, Pengerusi BERSATU juga turut kedengaran. Katalah, cakap-cakap angin ini benar. Sejauh mana legitimasi pemecatan beliau oleh parti?

Saya berpendapat memecat Tun adalah tindakan yang tidak berperlembagaan, tidak beretika, tidak sah serta merupakan langkah terdesak sekumpulan MPT. Alasan yang digunakan adalah bahawa Tun (serta beberapa Ahli lain) telah menyertai program parti politik lain atau duduk sepentas bersama mereka. Menurut mereka lagi, Fasal 10.2.3 adalah terpakai, ianya menyebut “Keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta apabila menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini”.

Walau bagaimanapun, Fasal tersebut tidak meyebut menyertai program atau sepentas bersama parti lain sebagai alasan kukuh mengugurkan keahlian sesiapapun secara serta-merta.

PARTI LAIN APA YANG DIANGGOTAI TUN?

Persoalannya, sejak bila Tun Pengerusi menyertai parti politik lain selain BERSATU? Malah, beliau seorang sahaja yang jawatannya diperingkat pusat adalah sah kerana menang-tanpa-bertanding jawatan Pengerusi bagi sesi 2019/2021.

Adakah yang dimaksudkan menyertai PH? Jika itu halnya, maka mereka perlu buktikan PN itu sebuah gabungan sah menurut ROS. Mereka juga perlu buktikan keluarnya BERSATU dari PH serta masuknya BERSATU kedalam PN adalah tindakan sah menurut Perlembagaan parti. (Saya jelaskan dalam Bahagian 1 artikel saya bagaimana keputusan tersebut tidak sah).

Tindakan Tun untuk menyokong PH adalah selaras dasar parti sebelum dan selepas PRU14.

Jika sekumpulan MPT pro-PN gagal membuktikan legitimasi tindakan mereka (keluar PH, tubuh PN), maka sebenarnya, mereka inilah yang keahliannya harus dipersoal. Nasib bagi mereka yang mencadangkan pemecatan Tun pula seharusnya lebih keras dan tegas.

MENGGANTIKAN PENGERUSI

Selepas isu peletakan jawatan Tun selaku Pengerusi, timbul pula ura-ura kononnya Presiden, dalam pada kuasa menurut Fasal 16.9 “Jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan…”, telah mengambilalih tugas Pengerusi.

Ini pada pendapat saya, tidak benar. MPT melalui satu surat oleh Ketua Penerangan, Radzi Jidin sendiri sudah menjelaskan bahawa MPT telah menarik balik peletakan jawatan tersebut. Maka, situasinya umpama Tun tidak pernah menghantar surat letak jawatan itu pun. Jadi, bagaimana TS Presiden, boleh memangku tugas Pengerusi? Tambahan lagi, seperti dinyatakan sebelum ini, Tun seorang sahaja yang diperingkat pusat, telah menang-tanpa-bertanding jawatan Pengerusi bagi sesi terkini. Sehubungan itu, bolehlah dipersoalkan dakwaan kononnya Presiden telah memangku tugas Pengerusi kerana ianya 100% tidak benar, tidak bersandarkan perlembagaan parti serta terpesong dari semangat dan asas perjuangannya.

PELANTIKAN & PEMECATAN SUA YANG ANEH

Dalam keghairahan pecat-memecat, ada juga kedengaran adegan lantik-melantik. Antaranya, pemecatan Datuk Marzuki yang digantikan dengan DS Hamzah Zainuddin selaku Setiausaha Agung (SUA). Saya dapati Presiden, dalam pada menjalankan tugasnya, cuba melantik Setiausaha Agung parti yang baharu selaras Fasal 16.3.3 yang menjelaskan salahsatu tugas Presiden adalah untuk “Melantik SUA, Bendahari Agung dan Ketua Penerangan selepas BERUNDING dengan Pengerusi”.

Mengikut rekod, Presiden pernah menghantar satu surat makluman bertarikh 18 Mac 2020 kepada Pengerusi memberitahu beliau bahawa Datuk Marzuki dipecat dan diganti dengan DS Hamzah.

Saya berpendapat, Presiden gagal memenuhi semua tuntutan lantikan seorang SUA sepertimana digariskan perlembagaan parti. Fasal 16.3.3 membenarkan Presiden melantik seorang SUA hanya “selepas berunding dengan Pengerusi”. Surat makluman kepada Tun bukan satu RUNDINGAN. Apa itu rundingan? Menurut Dewan Bahasa (DBP), ‘rundingan’ bermaksud “berbincang bersungguh-sungguh”. Tambahan lagi, kebiasaannya suatu rundingan dianggap berjaya hanya apabila kedua-dua belah pihak mencapai sepakat.

KEMBALI KEPADA STATUS QUO, MARZUKI SUA SAH

SUA dan KP BERSATU pernah bertukar sebelum ini, justeru, wujud contoh kes yang boleh dirujuk. Ketika SUA Datuk Shaharuddin ditukar kepada Datuk Marzuki dan Datuk Kamaruddin kepada Radzi Jidin, Presiden telah berunding dengan Pengerusi dan sepakat berjaya dicapai. Jika dalam rundingan antara Presiden dan Pengerusi, satu kesepakatan tidak berjaya dicapai, maka, keputusan terdahulu harus kekal (status quo) sehinggalah kedua mereka dapat mencari kata sepakat.

Ini bermakna Datuk Marzuki kekal sah sebagai SUA. Menyedari hakikat ini, kenyataan rasmi atau surat dari DS Hamzah adalah tidak sah dan boleh diabaikan.

Menariknya, kenyataan serta surat dari DS Hamzah hampir tiada. Barangkali pihak pro-UMNO mengambilkira implikasi tindakan undang-undang jika sebarang rekod ditemui. Satu panggilan mesyuarat MPT baru-baru ini yg tidak menjemput Pengerusi dan Timbalan Presiden juga sekadar meletakan nama Kapten Suhaimi sebagai menjalankan tugas selaku Setiausaha Kerja. Mesyuarat ini kemudiannya dibatalkan

Malah, dalam memberi penjelasan kepada ahli, Ketua Penerangan, Radzi Jidin pula yang mengeluarkan kenyataan berbanding SUA, yg secara tradisinya membuat penerangan dan penjelasan apabila melibatkan hal-hal pengurusan parti.

KEKELIRUAN TUGAS PRESIDEN-PENGERUSI

Tidak ada kekeliruan, menurut Fasal 16.2.1, Pengerusi adalah “…Pemimpin Utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran dan dasar parti”. PM bukan pemimpin dalam parti dan tidak memegang sebarang kuasa menentukan sebarang perkara bagi pihak parti. Presiden pula bertindak berdasarkan perbincangan dan rundingan bersama dengan Pengerusi.

MATLAMAT TELAH MENGHALALKAN CARA

Atas dasar memudahkan atau ‘convenience’, pihak pro-UMNO boleh pilih untuk menafikan sebarang Fasal perlembagaan parti atau memanipulasinya bagi memenuhi naratif songsang sendiri. Untuk memudahkan, boleh sahaja lewati semua peruntukan undang-undang, tatacara dan etika parti agar dapat melampias nafsu kuasa. Ianya jalan mudah dan cepat, semuanya dibolehkan. Namun, ianya tidak selari slogan ‘BERMARUAH dan BERMANAH’ yang dilaung-laungkan.

Lebih menyedihkan, UMNO mempunyai kesetiaan dan kehormatan lebih tinggi dari sebahagian ahli/pemimpin BERSATU dalam mengangkat dan memartabatkan perlembagaan partinya sendiri.

Nik Fathurahman

Ahli Biasa Seumur Hidup

Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X