SEMAK PAKEJ PRIHATIN PKS MENGIKUT INDUSTRI

Pertama sekali, ARMADA ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana mengambil kira pandangan rakyat khususnya para usahawan industri kecil sederhana dan membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS Tambahan bernilai RM10 billion.

ARMADA juga ingin berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana mengambil kira pandangan kami mengenai kos subsidi gaji dalam pakej rangsangan pertama yang tidak memadai untuk kebanyakan industri bertahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ataupun menghadapi ekonomi pasca PKP. Sudah tentu, suntikan dana sebanyak RM7.9 billion ini dapat membantu meringankan beban mereka.

Namun begitu, kami berpendapat bahawa pemberian subsidi gaji ini perlu dikaji dengan lebih teliti. Mengikut mekanisma sekarang, pemberian ini diberi mengikut saiz syarikat tersebut. Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja. Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja. Akhir sekali, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja.

Mekanisma mengikut saiz syarikat tersebut kurang berkesan kerana impak sebenar COVID-19 terhadap ekonomi adalah berbeza mengikut industri. Sebagai contoh, industri pelancongan dan servis makanan adalah industri yang paling terkesan di mana sesetengah syarikat atau perniagaan ini tidak dapat beroperasi langsung sepanjang COVID-19.

Manakala industri-industri lain seperti industri perusahaan tidak menerima impak yang sama dan boleh meneruskan perniagaan mereka sewaktu COVID-19.

Cadangan daripada ARMADA adalah agar pemberian subsidi gaji dikaji dan diberi mengikut impak ekonomi kepada industri terbabit ataupun berlandaskan pendapatan bulanan syarikat tersebut. Ini adalah untuk memastikan walaupun subsidi gaji wujud, syarikat mempunyai kebolehan untuk mengambil subsidi tersebut dan menampung gaji pekerja yang selebihnya.

Kita sekarang berada di zaman ekonomi yang belum pernah kita tempuhi sepanjang sejarah negara kita. Kita perlu memastikan bahawa industri kita bersama-sama dengan pekerja mereka dapat kembali menyumbang kepada negara kita.

ARMADA akan terus memastikan suara rakyat didengari.

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN / KETUA ARMADA MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X