RM250,000 HILANG DARI RUMAH, SYED SADDIQ LAPOR POLIS

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan polis berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dari perti besi di rumahnya.

“Saya telah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya.

“Pihak polis dan forensik telahpun datang dan membuat siasatan di rumah sejak malam semalam,” katanya dalam kenyataan di Twitter.

Kiriman itu disertakan laporan polis berkenaan.

Sementara itu Syed Saddiq turut menafikan laporan media bahawa wang tunai berkenaan milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya harap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak sahih kepada orang ramai,” katanya.

Dalam laporan polis itu, Syed Saddiq berkata beliau kali terakhir membuka peti besi berkenaan pada 13 atau 14 Mac lalu.

“Tiada sebarang kesan umpil dan keadaan rumah dan bilik kemas.

“Peti besi milik saya telah saya tetapkan kod rahsia dan hanya orang tertentu sahaja yang tahu di mana saya simpan,” katanya.

Laporan itu menyatakan ahli parlimen tersebut menjelaskan bahawa beliau hanya menyedari wangnya hilang dari peti besi tersebut pada 28 Mac lalu.

Difahamkan peti besi tersebut terletak dalam bilik mangsa di tingkat atas banglo dua tingkat di Petaling Jaya.

Pihak polis turut menahan seorang wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumah di kediaman mangsa semalam bagi tujuan siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X