DESAKAN TENTUKAN TARIKH PERALIHAN KUASA KHIANAT KEHENDAK ANWAR IBRAHIM

Saudara Akmal Nasir serta Nik Nazmi baru-baru ini memulakan semula desakan peralihan kuasa seperti yang pernah disuarakan kumpulan Otai Reformis, YB Ronnie Liu, YB Abdullah Sani, Syed Husin Ali & lain-lain sekumpulan dengannya.

Menurut sudara Akmal & Nik Nazmi, rakyat mendesak untuk mengetahui tarikh sebenar peralihan. Ini dibuktikan tidak benar melalui satu kajian yang dilakukan Kumpulan KRA (sebuah syarikat perunding hal ehwal awam) yang menyatakan 70% daripada rakyat Malaysia tidak memberi perhatian kepada isu peralihan kuasa & lebih mementingkan isu kos sara hidup.

Disamping itu juga, untuk pengetahuan saudara Akmal & Nik Nazmi, kepimpinan tertinggi PKR turut tidak merasakan ada keperluan khusus mendesak atau menetapkan sebarang tarikh.

Sentimen sama turut dikongsi presiden parti komponen lain yang bersetuju isu peralihan paling sesuai dibincangkan secara dalaman tanpa perlu desakan luar.

Malah, yang lebih penting lagi, DS Anwar sendiri berkata, beliau akan menunggu sehingga YAB Tun Mahathir berpuas hati dengan keadaan negara sebelum mengambil alih jawatan perdana menteri.

Justeru, suka saya ingatkan saudara Akmal & Nik Nazmi, bahawasanya keutuhan Pakatan Harapan akan lebih terserlah jika kita berhenti menimbulkan isu tarikh peralihan. Jika pihak penyokong DS Anwar tidak boleh mendisiplin diri selepas kenyataan jelas DSAI & DSWA, maka ini menimbulkan pula persoalan apakah DSAI sebenarnya mampu memimpin & mengawal keadaan seberapa kerat kepimpinan yang masih bersamanya? Jika itupun gagal, apa lagi memimpin diperingkat kerajaan pusat?

Bahkan, bukankah setiap kali dibangkitkan ia hanya mengundang perbalahan dalaman yang kemudiannya dimainkan media bagi melaga-lagakan Pakatan Harapan & memaksa reaksi yang akhirnya merugikan parti?

Saya dapat rasakan kedua-dua Akmal & Nik Nazmi sedar hal demikian tetapi tidak mengendahkannya kerana mahu memastikan isu ini sentiasa berlegar & tidak tenggelam atau dilupakan. Sehubungan itu, apa yang boleh disimpulkan adalah keghairahan saudara berdua mungkin datang dari keinginan mengejar jawatan.

Jika ini benar, nasihat saya adalah sudahlah dengan gelagat yang saya kira sudah mencapai tahap memualkan ini. Fokus semula kepada isu-isu utama yang meruncing. Tetapkan kembali keutamaan anda & bertindaklah untuk kepentingan PH secara keseluruhan & bukannya mendahulukan agenda peribadi.

Kedegilan saudara Akmal, Nik Nazmi & lain-lain hanya akan mengundang lebih banyak sokongan simpati kepada Tun Mahathir bagi mengekalkan jawatannya sehingga tamat penggal. Lebih menyedihkan lagi, perangai serta disiplin buruk yang ditonjolkan kalian akan meningkatkan sentimen benci kepada DS Anwar Ibrahim serta menyebabkan ketegangan hubungan diperingkat akar umbi.

Maka, jika dilihat dari sudut apapun, cakap-cakap peralihan kuasa merugikan semua pihak, lebih-lebih lagi untuk pihak yang gigih menyuarakannya secara terbuka.

Kesudahannya, marilah sama-sama kita berusaha memperbaiki kerosakan, memperkasa agenda serta polisi yang telah diwujudkan serta memperkukuhkan sokongan rakyat melalui aktiviti yang memberi faedah.

Setia & hormatilah kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagaimana saudara berdua mahu orang lain setia & menghormati DSAI nanti. Akurlah.

“Bersatu. Beramanah. Bermaruah”

Nik Fathurahman
Ketua Penerangan
ARMADA Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X