#NEGARAKU PERLU DALAM BAHASA MALAYSIA

TIDAK KIRA APAPUN BAHASA, ‘#NEGARAKU’ TETAP HANYA DALAM BAHASA MELAYU. SIASATAN DAN TINDAKAN WAJIB DIAMBIL PADA MEREKA YANG BIADAB!

ARMADA Nasional melalui Biro Pendidikan ARMADA berasa kesal dengan tindakan beberapa pihak yang biadab tanpa nilai sensitiviti dan rasa hormat ke atas lagu Negaraku selaku lagu rasmi pusaka tanahair, lagu kebangsaan negara kita, MALAYSIA, walaupun atas apa alasan mahupun tujuan samada murni apatah lagi sebaliknya.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan negara adalah Bahasa Melayu, manakala lagu Negaraku adalah merupakan lagu rasmi negara. Biarpun di bawah klausa perkara yang sama, kurungan (1) (a) menyatakan “tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud RASMI), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain;”

Ini bukanlah suatu tiket untuk mana-mana pihak dengan sewenangnya mengubah lirik Negaraku ke dalam apa bahasa sekalipun. Mewakili ARMADA, sewaktu menerima maklumat awal (video) mengenai nyanyian lagu negaraku dalam bahasa Mandarin, kami ARMADA telah menjalankan sedikit selidikan dan mendapati lebih dari satu entiti yang berbeza turut juga menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Arab!

Jelas kedua nyanyian Negaraku samada dalam Mandarin mahupun Arab adalah salah dan melanggar kedudukan lagu Negaraku, yang diangkat sebagai lagu rasmi Negara atau lagu kebangsaan melalui sendi bahasanya iaitu Bahasa Melayu sekaligus tanpa sedar mengkhianati nilai Patriotisme dan Nasionalisme yang seharusnya mampu turut mengakar melalui pemahaman dari bait-bait lirik Negaraku dalam Bahasa Melayu.

Biarpun tujuan untuk memberikan pemahaman dalam ‘bahasa asing’ yang dipelajari di sekolah-sekolah terbabit (Sekolah Cina dan Sekolah/Kelas Arab), namun terdapat banyak lagi lagu yang juga bercorak kenegaraan atau patriotik boleh dijadikan bahan untuk diajari namun tidaklah sama sekali lagu Negaraku itu diperdagangkan! Itulah maruah kita walau liriknya tidak diubah!

Kita tidak patut pandang enteng perihal ini apatah lagi dinihari, nilai Nasionalisme dan Patriotisme semakin luntur dalam jiwa masyarakat dan rata-ratanya anak muda dengan berpaksikan asas-asas negara sebagai contoh berteraskan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu tindakan perlu diambil segera bagi mengekang pemikiran sebegini ditambah ianya mampu menjadi modal permainan politik pihak tidak bertanggungjawab dengan mengaitkan dengan hal-hal berbentuk perkauman!

BIRO PENDIDIKAN ARMADA NASIONAL telah membuat satu laporan polis bagi menyiasat dan mengekang perkara sebegini dari berlanjutan. Ini negara kita, maruah kita, kebanggaan kita! Bangga dalam acuan jati negara kita MALAYSIA!

MOHD ASHRAF MUSTAQIM

Exco ARMADA Nasional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X