Syed Saddiq teruja lonjakan drastik 120,000 ahli Armada

KUALA NERUS – Jumlah keahlian Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di seluruh negara mencatat pertambahan drastik yang kini mencecah 120,000 orang.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengesahkan perkara itu turut meluahkan rasa teruja dengan lonjakan jumlah keahlian itu sekali gus mengatasi jumlah keseluruhan ahli Bersatu sendiri. Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan memberitahu, keahlian parti Bersatu pada masa ini secara keseluruhan adalah kira-kira 100,000 ahli.

Syed Saddiq turut meletakkan sasaran kira-kira 200,000 ahli Armada di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. “Sebelum pilihan raya anggaran jumlah keseluruhan ahli Bersatu termasuk Srikandi, Armada dan Wanita Muda serta pimpinan kesemuanya berjumlah 100,000 orang.

Tapi hari ini kita lihat sayap Armada seluruh negara jumlahnya sendiri iaitu 120,000 telah melangkaui jumlah keseluruhan ahli Bersatu. “Kita dah berjaya masuk Sabah dan jumlah Armada Sabah saja hampir cecah 25,000 ke 30,000 ahli dan kita akan terus kembangkan sayap ke seluruh Malaysia,” katanya. Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita pada majlis Jamuan Hari Raya Armada Terengganu di sini malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris dan kepemimpinan Bersatu serta Armada negeri. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X