Gesa ROS kenakan tindakan tegas pada UMNO

PUTRAJAYA – Pemuda Pakatan Harapan menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengenakan tindakan tegas terhadap UMNO berikutan menerima wang secara haram daripada syarikat milik kerajaan, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini mendedahkan beberapa cawangan UMNO negeri menerima dana dari syarikat tersebut untuk kepentingan parti. “Mengikut pendedahan yang dilakukan SPRM, sejumlah RM212 juta dana telah dipindahkan daripada syarikat 1MDB kepada UMNO. “Ini adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana wang 1MDB sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi negara, bukan disalurkan demi kepentingan parti dan kegunaan UMNO,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan laporan kepada ROS, di sini hari ini.

Ulya Aqamah berkata, tindakan memindahkan dana dengan jumlah yang besar jelas menunjukkan terdapat salah guna kuasa dan kesalahan penggunaan wang rakyat oleh UMNO. “Andai dibiarkan tanpa tindakan tegas, amalan terkutuk ini akan menjadi ikutan pada masa hadapan dan perkara yang sama akan berulang kembali. “Maka, adalah penting untuk tindakan dikenakan kepada UMNO sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua bahawa penerimaan wang seperti ini adalah haram dan salah di sisi undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE Tag Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X