IPOH 21 Dis. – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Perak menyifatkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy yang mendakwa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menentukan barisan Kabinet merupakan tuduhan tidak berasas.
Ketua Armadanya, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh berkata, kenyataan Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu yang mendesak tindakan diambil terhadap Syed Saddiq juga adalah tindakan yang melampau.
Katanya, penyerahan memorandum menuntut peletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy itu bukanlah melambangkan rasa tidak hormat tetapi salah satu cara untuk menyampaikan permintaan atau cadangan kepada pihak yang sewajarnya.
“Penyerahan memorandum menggesa perletakan jawatan Waytha Moorthy oleh Armada kepada Dr. Mahathir adalah bertujuan menzahirkan pendirian Armada berhubung perkara ini.
“Pastinya Armada menaruh harapan tinggi agar permintaan ini menjadi kenyataan namun jika sebaliknya, kami tetap akur dan patuh terhadap sebarang keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hafez, pihaknya juga menegur Ramasamy yang dilihat mengamalkan sikap ‘double standard’ dalam menyuarakan pendapat berhubung isu sebegini.
Ini kerana katanya, pada 2 Julai lalu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) pernah melakukan tindakan yang lebih serius iaitu mempertikai dan mengecam keputusan Perdana Menteri secara terbuka berhubung senarai Kabinet namun tiada sebarang kritikan dibuat oleh Ramasamy.
“Mengapa ketika itu beliau tidak bersuara dan mendesak kepimpinan parti untuk mengambil tindakan berhubung perbuatan itu? Tidakkah beliau beranggapan bahawa perbuatan ini juga ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri dalam membuat keputusan?.
“Sewajarnya beliau membuat kajian terlebih dahulu dan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan apa juga kenyataan selepas ini,” katanya.
Tambah beliau, adalah menjadi tanggungjawab parti-parti dalam Pakatan Harapan untuk memelihara hubungan erat yang terjalin kukuh seterusnya menggalas amanah yang diberi oleh rakyat dengan sebaiknya.
© Utusan Melayu (M) Bhd