Saring pemimpin Umno sebelum masuk PH

SHAH ALAM – Kerajaan PH perlu menyaring setiap individu atau pemimpin ‘lompat’ sebelum membenarkan mereka menyertai mana-mana parti komponen gabungan berkenaan.

Ketua Armada Bersatu Selangor, Adhif Syan Abdullah, berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam PH dalam membina Malaysia yang lebih baik namun bukan bermakna ia perlu diberi jalan mudah.

“Saya menyambut baik kemasukan pimpinan Umno dan ahli akar umbi Umno ke dalam PH  khususnya ke dalam Parti Bersatu. Ini adalah masa membina semula negara ke arah yang lebih baik, setelah tanah tercinta ini dinodai dengan perlakuan khianat seperti kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa oleh beberapa pimpinan tertinggi Umno.

“Oleh itu mewakili Armada Selangor, saya mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam PH, pun begitu berpendapat bahawa mereka yang ‘lompat’, perlu disaring keterlibatan mereka dengan perbuatan salah-laku menerusi PDRM dan SPRM sepanjang tempoh probasi mereka selaku ahli bebas sebelum menyertai mana-mana parti komponen dalam PH.

“Bagi mana-mana pemimpin Umno yang terbukti terpalit dengan perihal skandal dan salah-laku. Walaupun telah menjadi ahli komponen PH, mereka tetap tidak akan dibela dan penjara adalah jawapan kepada sesiapa yang terbukti bersalah! Tiada Kompromi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Adhif yang juga Adun Dengkil, beliau tidak menolak tindakan beberapa pimpinan Umno lompat parti adalah demi menjaga kepentingan.

“Memahami akan soal kepentingan rakyat, langkah beberapa pimpinan Umno yang lompat ini boleh disifatkan sebagai menjaga kepentingan.

“Kepentingan apa? Hanya ALLAH SWT yang maha mengetahui, boleh jadi kepentingan diri atau peribadi pun begitu siapalah kita untuk menidakkan andai ada walau secebis kepentingan dalam berkhidmat kepada rakyat. Atas faktor ‘kepentingan’ itu tidak hairan ramai yang sanggup jadi katak kesan krisis siasah yang berlaku,” katanya.

Dalam masa sama, Adhif melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan pimpinan PH yang masih gagal melakukan pengisytiharan harta bagi mengangkat agenda reformasi yang sering dilaungkan PH.

“Bercakap mengenai agenda reformasi, adalah menyedihkan apabila kita sering melaungkan cogankata pembaharuan namun hanyalah omongan kosong apatah dari sudut tingkah dan perbuatan ternyata tidak ke arah itu. Hal ini merujuk kepada beberapa pimpinan PH sendiri malah ada dalam kalangan menteri yang belum melakukan pengisytiharan harta sebagai langkah kecil pembuktian reformasi yang diamalkan PH,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X