Gesaan tersebut dibuat oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang juga Ketua Biro Integriti, Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa Pemuda PPBM, Dr. Muhammad Faiz Na’aman bersama wakil-wakil Pemuda PPPBM yang membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurut Dr. Muhammad Faiz, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menggunakan jawatan politik untuk terlibat dalam skandal salah laku dan penyelewengan kuasa.

“Kami harap pihak berkuasa termasuk polis dan SPRM dapat mencari dalang sebenar kes itu. Tindakan disiplin akan diambil sekiranya benar ahli kami terbabit dalam skandal itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan bagi meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dikatakan membabitkan Ketua Pemuda PPBM Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abd Karim.

Media sebelum ini melaporkan Mohd. Noorhisyam dituduh mengutip wang sewaan tapak sehingga RM5,000 daripada peniaga bazar di Jalan Masjid India selain didakwa menyalahgunakan hubungan politiknya untuk mendapatkan 80 lot bazar dari DBKL.

Surat dari DBKL kepada Mohd Noorhisyam menunjukkan bahawa 80 lot telah diluluskan selama sembilan hari dengan bayaran hanya RM6,238 dan turut terseret dalam skandal tersebut adalah Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun kerana beliau menulis surat kepada DBKL yang menyokong permohonan Mohd. Noorhisyam untuk menyewa lot terbabit.

Dalam pada itu, ujar Dr. Muhammad Faiz, pihak PPBM turut membuat siasatan dalaman mengenai isu tersebut dengan laporan disiplin sudah dikemukakan oleh PPBM Bahagian Bukit Bintang.

“Kami memandang serius terhadap mana-mana ahli yang menggunakan jawatan politik untuk memohon tender membabitkan perniagaan samada ia dilakukan atas niat kebajikan mahupun kepentingan peribadi,” katanya.